Lembah Bujang merupakan kawasan yang
dikenali sebagai Sungai Batu, proses cari gali telah mendedahkan sisa jeti,
tapak peleburan besi, dan binaan batu-bata yang bertarikh 110SM, menjadikannya
binaan manusia tertua yang pernah direkodkan di Asia Tenggara. Binaan Chandi menunjukkan
sejak awal abad Masihi hingga 20 Masihi, Lembah Bujang mempunyai perhubungan
yang sangat intim dengan aktiviti perdagangan maritim di antara beberapa negara
di Asia, China, Asia Barat dan India.
Perkembangan pelabuhan
entrepotnya sering dikaitkan dengan kerajaan Thalassocracy Srivijaya. Penemuan tapak tanah bersejarah dengan beratus ribu
pecahan seramik, kaca dan manik sama ada dari China,
Asia Barat, India atau tempatan, runtuhan candi
pengabdian terhadap Buddha atau Hindu, struktur bandar atau pelabuhan yang
tenggelam, artifak budaya seperti patung-patung atau arca, batu bersurat dan
peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat telah menobatkan gugusan
ini sebagai tempat terasasnya negara pesisiran Kedah purba.
Sungai Mas dan koridor
Sungai Muda merupakan tapak tanah sejarah yang merentasi zaman prasejarah
kebudayaan Hoabinhian, protosejarah dan sejarah. Walaupun penyelidikannya telah
menjangkau seratus lima puluh tahun, tetapi usaha membongkar, menyingkap dan
merekonstruksi sejarah, peranan dan perkembangannya masih menjadi perdebatan
dan belum menemui titik pertemuan.
Status dan potensinya
yang diperakui oleh peserta projek Intra-ASEAN : Ekskavasi Arkeologi dan
Konservasi Lembah Bujang, Kedah 1985, serta diperakui di dalam Malaysian Book
of Records kerana memiliki berpuluh ribu manik purba dan salah satu lokasi
pembuat manik di kawasan Indo-Pasifik menjadikan ia tapak yang komprehensif.
Pelabuhan yang sangat diperlukan dan memiliki laluan transpeninsular yang
menghubungkan Kedah Purba - Langkasuka (Patani) meletakkan ia sebagai
bandar pelabuhan yang terbilang.