Penaja Kami

PENGUMUMAN

Saturday, July 17, 2010

Gua Niah

Sejarah Gua Niah

Gua Niah merupakan sebuah gua yang terbesar di Malaysia dan penuh dengan sejarah. Ia juga merupakan antara gua batu kapur yang terbesar di dunia. Terletak kira-kira 90 kilometer atau 1 1/2 jam dari Miri, Sarawak, gua ini menunjukkan bukti kehidupan awal manusia di daerah ini.

Gua Niah juga merupakan salah satu gua tertua di dunia dan telah diwartakan sebagai tapak bersejarah di bawah kuasa Muzium Sarawak. Gua Niah terbentuk sebagai terumbu karang pada akhir Miocene sebelum pergerakan bumi yang mengangkatnya dan dihakis membentuk gua. Gua Niah seluas 12 hektar dan kawasan dalam gua dianggarkan tiga kali padang bola sepak. Selain pintu masuk utama Gua Niah, terdapat 5 bukaan lain dengan kamar dibelakangnya. Ia dikenali sebagai Mulut Besar, Lubang Tulang, Lubang Hangus, Gan Kira dan Lubang Tahi Menimbun.

Taman Negara Gua Niah

Gua Niah terletak lebih kurang 400 km di sepanjang pantai ke utara bandar Kuching terselindung di sebalik hutan tebal Miri. Taman negara ini merangkumi kawasan seluas 3,140 hektar yang merangkumi paya gambut, hutan dipterokap dan pembentukan rabung batu kapur. Gua Niah terdiri daripada sebuah gua yang besar (dipanggil Gua Besar) dan beberapa buah gua kecil yang lain.


Gua Niah juga merupakan taman negara Sarawak terkecil, tetapi merupakan yang paling penting dan menarik minat pelancong. Ini adalah kerana di Gua Niah telah dijumpai fossil manusia yang berusia 40,000 ribu tahun dahulu sekali gus menjadikannya sebagai tapak awal kehadiran manusia di Asia Tenggara. Selain itu jumpaan perkakasan manusia purba ini telah menjadikan Gua Niah sebagai tapak kaji purba terpenting di dunia.

Ia diwartakan sebagai Monumen Sejarah Kebangsaan pada 1958 dan pada 23 November 1974 diwartakankan sebagai Taman negara dan dibuka kapada umum pada 1 Januari 1975.





Saturday, July 10, 2010

Hutan Simpan Belum


Hutan Simpan Belum

Hutan Simpan Belum yang merupakan sebuah hutan dara yang luas terletak di utara Tasik Temenggor, di bahagian utara Negeri Perak. Kawasan ini merupakan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung yang tidak pernah diterokai oleh manusia.


Luas kawasan bagi hutan simpanan ini dilaporkan meliputi seluas 290, 000 hektar. Hutan Belum ini dibahagikan kepada bahagian atas dan bahagian bawah. Bahagian atas hutan belum ini ditutupi oleh 117, 500 hektar kawasan hutan yang tebal dan memasuki sempadan Thailand-Malaysia. Kawasan hutan yang luas ini boleh dianggap seperti tembok semulajadi dan "gazette" sebagai zon keselamatan/ selamat. Taman simpanan Belum dan Temenggor dibiarkan tumbuh meliar kerana Kerajaan Perak telah memutuskan untuk mengekalkan kawasan tersebut sebagai simpanan semulajadi bagi tujuan penyelidikan.


Bahagian atas hutan belum merupakan 90% yang belum diteroka manakala bahagian bawah umumnya dilitupi oleh hutan sekunder. Memang merupakan kawasan yang amat luas untuk menjalankan penyelidikan!!!

Flora Dan Fauna

Di Hutan Belum ini terdapat pelbagai jenis tumbuhan dan pokok-pokok kayu keras hutan hujan tropika yang semakin pupus.Antaranya adalah seperti spesis meranti, cengal, keruing dan merbau yang besar. Disini juga terdapat pelbagai jenis tumbuhan herba yang boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Terdapat juga spesis tumbuhan yang sukar ditemui di tempat lain seperti rafflesia yang tumbuh meliar di sini yang merupakan spesis bunga terbesar.

Kehadiran spesis haiwan mamalia yang besar di sini seperti gajah, badak sumbu, tapir dan harimau menjadikan Hutan Belum sebuah hutan simpan yang amat istimewa.

Hutan ini kaya dengan haiwan dan tumbuhan yang mengagumkan yang mana banyak kawasan di sini belum pernah di teroka atau diganggu oleh kehadiran manusia.

Beberapa syarikat pengendali pelancong kini menawarkan lawatan berpandu ke tempat-tempat tertentu di hutan simpan ini dan boleh mengaturkan permit-permit kebenaran yang diperlukan untuk melawat ke sini dan juga pengangkutan darat dan sungai malah mungkin merangkumi aktiviti perkhemahan.

Pengangkutan

Kereta
Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Ipoh. Selepas Ipoh, ambil susur keluar ke Kuala Kangsar dan pandu ke arah pekan Gerik. Gunakan Laluan 4 iaitu Lebuhraya Timur-Barat. Lebuhraya ini akan membawa anda ke Pulau Banding iaitu gerbang masuk ke Hutan Belum. Perjalanan dari KL memakan masa kira-kira 5 1/2 jam. Kebenaran masuk ke Hutan Simpan Belum lebih mudah didapati sekiranya anda berurusan dengan pemilik resort yang terdapat di sini.

Talian Yang Boleh Anda Hubungi Untuk Pertanyaan

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pelancongan Negeri Perak di talian : 605 - 255 2772 E-mel: mtpbperak@tourism.gov.my


Penginapan

Kemudahan hotel tidak disediakan di sini kerana kawasan ini merupakan sebuah hutan simpan. Pelawat boleh berkhemah atau menyewa rumah-bot bagi menikmati keindahan alam semulajadi di sini. Kemungkinan besar, anda akan mengambil pakej lawatan berpandu, oleh itu anda tidak perlu risau kerana pengendali lawatan anda akan mengaturkan tempat penginapan anda.

Friday, July 2, 2010

Kuala Kangsar

Kuala Kangsar adalah merupakan Bandar DiRaja dan bersejarah bagi negeri Perak Darul Ridzuan. Kuala Kangsar juga merupakan kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai produk-produk tempatan dan IKS (Industri Kecil dan Sederhana)yang menarik. Terletak kira-kira 48 kilometer ke utara dari Ipoh. Kuala Kangsar mendapat nama bersempena pokok kangsar yang tumbuh di tebing sungai dan juga terdapat versi mengatakan terdapatnya 99 anak sungai dan kurang 1 kepada seratus, iaitu melalui sebutan Kuala Kurang Sa. Kuala Kangsar dapat dihubungi melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), jalan persekutuan dan melalui kemudahan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Kuala Kangsar juga merupakan sebuah daerah yang ditadbir oleh Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan bagi kawasan perbandaran ditadbir oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. Pusat pertumbuhan utama daerah adalah Bandar Kuala Kangsar, Sungai Siput (U), Padang Rengas, Manong, Sauk, Karai, Salak, Lintang dan Lasah. Bandar Sungai Siput (U) merupakan pusat pertumbuhan kedua terbesar selepas Bandar Kuala Kangsar.


Monday, June 28, 2010

Kuala Lipis


Kuala Lipis merupakan ibu negeri Pahang yang pertama. Ia juga boleh dikatakan menjadi penempatan terawal di Pahang. Kedudukannya juga amat strategik iaitu di pertemuan tiga sungai iaitu Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Lipis.

Kuala Lipis dahulunya pusat perlombongan emas sebelum British tiba pada 1887. Pada 1898 ia menjadi ibu negeri Pahang sehingga 1953.

Semasa zaman ini, bangunan penjajah utama, seperti Pejabat Daerah dan SMK Clifford yang pernah mendidik tokoh negara tersergam indah, dan Pahang Club telah dibina. Rumah Residen British di atas bukit sekarang ini menjadi hotel dan muzium.

Bandar ini membesar dan maju selepas pembinaan landasan kereta api pada 1924. Walaubagaimanapun, pada 1953, ibu negeri telah berpindah ke Kuantan, dan Kuala Lipis tidak lagi pesat membangun. Ia sekarang menjadi peringatan zaman silam.

Walaupun begitu beberapa institusi pendidikan baru seperti Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan, dan Maktab Rendah Sains Mara telah dibina. Sebuah bandar baru di seberang sungai Jelai sudah dibina dan mula beroperasi. Kuala Lipis juga merupakan daerah Parlimen Allayarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua, bapa kepada Perdana Menteri Malaysia terkini, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak,Allayarham Tun Muhammad Ghazali Shafie dan juga tempat asalnya penyanyi tersohor negara, Dato' Siti Nurhaliza.

Tempat-tempat Menarik Dan Bersejarah

  • Bandar lama Kuala Lipis.
  • Rumah Rehat (Bekas Rumah Residen Inggeris).
  • Pejabat daerah kuala lipis
  • Landasan kereta api.
  • SRK Clifford
  • SMK Clifford(1913)
  • Hutan Lipur Kenong

Taman Rimba Kenong

Merupakan hutan hujan tropika yang masih belum diteroka seluas 128 kilometer persegi dalam Daerah Lipis, Pahang Darul Makmur. Ia terletak di Lembah Kenong dan berkongsi sempadan dengan Taman Negara di bahagian utara dan timur.

Taman Rimba Kenong terletak 32 km dari pekan Kuala Lipis dan 302 km daripada Kuantan dan juga terletak di Hutan Simpan Yong yang mempunyai jenis Hutan Dipeterokarp Bukit.

Walaupun taman ini dibuka kepada orang awam, kebanyakan kawasan taman ini masih lagi belum diterokai sepenuhnya.

Di sini para pengunjung dapat melihat pelbagai flora dan fauna, dari cendawan hinggalah pokok yang berpuluh meter tingginya dan dari katak bersaiz 1 sm hinggalah ke gajah.

Keindahan alam yang belum tercemar, mempunyai landskap semulajadi yang masih belum diterokai serta terkenal dengan keindahan dan keunikan gua batu kapur menjadikannya salah satu destinasi tumpuan pelancong.

Antara gua batu kapur yang terdapat di sini adalah Gua Batu Tinggi, Gua Batu Tangkup, Gua Batu Telahup, Gua Kesong, Gua Buta, Gua Harimau, dan Gua Hijau.

Disamping itu pengunjung dapat menghayati suasana hutan dengan mendengar bunyi cengkerik dan burung enggang.

Aktiviti-aktiviti rekreasi yang boleh dijalankan ialah:

  • Jelajah Gua Batu Kapur
  • Interpretasi Sumber
  • Berkelah / Berenang
  • Fotografi
  • Aktiviti Tali
  • ‘Cave Tubing”
  • Berakit, Bersampan, Berkenu dan Berkayak
  • Pemerhatian Burung / Hidupan Liar
  • Jalajah Gunung
  • Perkhemahan

Kemudahan sedia ada:

  • Tempat letak kereta
  • Jambatan Gantung
  • Pusat Penerangan
  • Pondok rehat, bangku dan kemudahan tong sampah
  • Papan-papan tanda dan papan tanda pokok
  • Chalet dan dormitori
  • Tapak perkhemahan
  • Kemudahan tandas
  • Denai hutan / Denai interpretasi